Jalan Bangsar Ditutup Sementara Pagi Ini, Dipercayai Berlaku Satu Kes Jenayah (Update 22-NOV-20)

Orang ramai pada pagi ini kecoh kerana penutupan jalan di Jalan Bangsar dari arah KL Sentral menghala ke Abdullah Hukum kerana dipercayai terdapat satu kes jenayah di lokasi tersebut.

Mayat adalah seorang lelaki warga asing ditemui dengan kesan kelar di bahagian leher di Jalan Bangsar, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, mayat itu ditemui oleh orang awam yang kemudian memaklumkan kepada polis pada jam 5.38 pagi.

Menerusi ciapan ITIS_TRAFIK pada pagi ini, lokasi tersebut berada dalam kawalan Polis Trafik sementara dalam proses menunggu pihak forensik sampai.

Trafik juga dilaporkan sesak dari susur KL Sentral pada pagi tadi.

Menerusi ciapan BernamaTV sebentar tadi, orang awam dilaporkan telah menemui seorang lelaki terbaring tidak sedarkan diri di Jalan Bangsar. Polis juga telah mengesahkan bahawa lelaki tersebut telah meninggal dunia.

Update: 22 November 2020 Identiti mayat lelaki ditemui dalam keadaan mengerikan dengan kesan kelar di dada, leher dan kemaluannya di Jalan Bangsar, Khamis lalu sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, mangsa adalah warga Pakistan berusia 25 tahun dan ia disahkan bekas isterinya yang tampil membuat pengecaman.

Menurutnya, wanita tempatan berusia 31 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields jam 4.30 petang semalam bagi membantu siasatan.

"Turut hadir, seorang lelaki warga Pakistan yang mendakwa rakan kepada mangsa. Wanita terbabit mendakwa sudah bercerai dengan mangsa sejak Oktober lalu selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anuar berkata, mereka melakukan pengecaman berdasarkan gambar dan pakaian mangsa, namun pengecaman tubuh akan dilakukan esok di Jabatan Patalogi Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya.

"Mangsa dikatakan pernah menjalankan perniagaan menjual minyak wangi bersama bekas isterinya, namun selepas bercerai dia sudah tidak bekerja.

"Semakan dengan pihak imigresen mendapati pasport mangsa sah sehingga Februari depan," katanya.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan mengerikan apabila dada, leher dan kemaluannya dikelar.

Mayat ditemui orang awam jam 5.30 pagi di atas jalan raya dipercayai dicampak dari kenderaan.

Kejadian itu menyebabkan jalan itu ditutup sejam bermula jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

|