HUKUM JUAL BELI DI DAERAH YANG TIADA JUMAAT KERANA WABAK

HUKUM JUAL BELI DI DAERAH YANG TIADA JUMAAT KERANA WABAK

SOALAN :

Ketika wabak penyakit di setengah tempat tidak ada solat jumaat kerana menjaga dari tersebarnya penyakit.

Jadi adakah orang lelaki masih dilarang jual beli di tempat tersebut ? JAWAPAN :

Larangan jual beli pada hari jumaat berlaku atas orang yang wajib solat jumaat. Oleh kerana itulah dilarang mereka berjual beli selepas azan kerana sebab berjual beli itu menghalang dari bersegera kepada masjid.

Berkata Imam Syafie :

وإذا تبايع من لا جمعة عليه في الوقت المنهي فيه عن البيع: لم أكره البيع؛ لأنه لا جمعة عليهما، وإنما المنهيُّ عن البيعِ المأمورُ بإتيان الجمعة الإمام الشافعي في "الأم

Artinya : “Dan apabila berjual beli oleh orang yang tidak wajib atasnya jumaat pada waktu yang dilarang padanya dari berjual beli nescaya tidak aku tegahkan kerana sungguhnya tidak wajib jumaat atas mereka. Sungguhnya larangan dari jual beli itu hanyalah atas orang yang diperintahkan pergi kepada jumaat.” (Kitab Al-Umm)

Dari kerana itu maka tidak ada larangan jual beli ke atas wanita dan kanak-kanak dan musafir kerana mereka tidak diwajibkan pergi kepada jumaat.

Berkata Imam Ibnu Qudamah :

وتحريم البيع، ووجوب السعي، يختص بالمخاطبين بالجمعة، فأما غيرهم من النساء والصبيان والمسافرين، فلا يثبت في حقه ذلك ابن قدامة الحنبلي في "المغني

Artinya : “Dan pengharaman jual beli dan kewajipan pergi ke masjid hanya tertentu hukumnya dengan orang yang diwajibkan solat jumaat. Maka adapun selain mereka itu dari kaum wanita dan kanak-kanak dan musafir maka tiada sabit pada haknya oleh (larangan) yang demikian itu.” (Kitab Al-Mughni)

Jadi apabila sebuah negeri atau daerah yang sedang dilanda wabak penyakit itu tidak mengadakan solat jumaat kerana memelihara dari tersebarnya wabak maka gugur kewajipan solat jumaat kerana uzur yang tersebut itu.

Dan apabila tidak wajib solat jumaat ke atas mereka maka tidak ada larangan berjual beli pada ketika jumaat.

Berkata Dr Syauqi Ibrahim ‘Allam Mufti Negeri Mesir : نهي الشرع عن البيع والشراء وسائر العقود في وقت الجمعة ليس نهيًا في ذاته، بل هو نهي عن كل ما من شأنه أن يَشغَل عن السعي إلى الجمعة، ولذلك نص الفقهاء على جواز البيع لمن لم تجب عليهم الجمعة أو سقطت عنهم لعذرٍ من الأعذار فلا مانع من إجراء العقود وممارسة سائر المعاملات؛ من البيع والشراء وغيرهما في وقت الجمعة في ظروف الوباء؛ سواء مُنعَت إقامة الجمعة بالكلية، أو سُمِحَ بإقامتها بأعداد وشروط معينة لا تجعلها واجبة على الكافة، ولا يدخل ذلك في النهي الشرعي الدكتور / شوقي إبراهيم علام دار الإفتاء المصرية

Artinya : “Bermula larangan syarak dari berjual beli dan sekelian aqad pada waktu jumaat bukanlah larangan pada diri jual beli itu tetapi ialah larangan dari setiap keadaan yang membawa kepada sibuk dari pergi ke tempat jumaat. Dan kerana itulah para fuqahak telah menaskan atas harus jual beli ke atas orang yang tidak wajib atas mereka jumaat atau gugur jumaat daripada mereka kerana adanya beberapa uzur.

Maka tiada halangan dari memperlakukan aqad sekelian muamalat daripada jual beli dan lainnya pada waktu jumaat pada ketika wabak samada larangan mendirikan jumaat sama sekali atau hanya didirikan dengan bilangan dan syarat yang tertentu yang tidak menjadikan wajib secara menyeluruh. Dan tiada masuk yang demikian itu pada tegahan yang bangsa syarak.” (Darul Ifta Mesir)

KESIMPULAN

Larangan jual beli dan lain-lain muamalat hanyalah ke atas orang yang wajib hadir ke masjid untuk solat jumaat. Kaum wanita dan kanak-kanak dan musafir atau yang mempunyai uzur tidak dilarang dari jual beli pada waktu jumaat kerana mereka tidak wajib pergi ke masjid untuk solat jumaat.

Jika sebuah negeri atau daerah tidak mengadakan solat jumaat maka gugur kewajipan hadir ke masjid untuk solat jumaat dan terangkat atas mereka larangan jual beli pada waktu tersebut.

wallahua’lam ustaz azhar idrus

|