Kluster berkaitan tempat kerja meningkat

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan berlaku peningkatan penularan kes Covid-19 yang membabitkan kluster berkaitan tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 158 kluster aktif Covid-19 yang dilaporkan, sebanyak 65 kluster atau 41.1 peratus adalah berkaitan dengan tempat kerja termasuk dua kluster baharu diumumkan hari ini.

Menurutnya, sebanyak 5,681 kes positif Covid-19 yang berkaitan kluster tempat kerja adalah membabitkan 3,369 (59.3 peratus) warganegara dan 2,312 (40.7 peratus) bukan warganegara.

"Ia adalah hasil tindakan proaktif majikan yang turut sama menjalankan saringan Covid-19 terhadap pekerja-pekerja mereka.

"KKM amat berterima kasih dan ingin menyampaikan penghargaan kepada majikan dalam bersama-sama membantu mengesan kes positif di kalangan warga kerja mereka.

"Tindakan itu dapat mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti dan seterusnya membantu KKM dalam menjalankan aktiviti kesihatan awam," katanya.

|